Ahli UMNO berpihak kepada Mukhriz boleh keluar parti

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata sekiranya anggota terbabit kekal dalam UMNO, ia hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

“Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baharu seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

“UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Johari berkata ini kerana sekiranya anggota parti yang menyokong Mukhriz dihalang daripada keluar parti berkemungkinan mereka ini akan menjadi duri dalam daging yang mana mereka akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO. – mStar Online

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri