Chee Kiang tiba di Lapangan Terbang Miri kira-kira pukul 11.15 pagi Rabu dengan diiringi kawalan ketat polis.
Dia kemudiannya dibawa ke mahkamah dan pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Zuraini Ali Musa.
Menurut kertas pertuduhan, Chee Kiang bersama dengan Lie Chang Loon, Chin Wui Chung dan seorang lagi yang masih bebas bersubahat dengan Mohamad Fitri Pauzi dalam kes pembunuhan Bill.
Bill ditembak mati dipercayai menggunakan senapang patah di persimpangan lampu isyarat Lutong di Miri, kira-kira pukul 8.30 pagi, 21 Jun lalu.
Kesalahan itu membawa hukuman mati mandatori.
Tiada pengakuan direkodkan.
Mahkamah menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Chee Kiang dipercayai melarikan diri ke luar negara beberapa hari selepas Bill ditembak mati pada 21 Jun lalu.
Bill yang juga Setiausaha PKR Cawangan Miri itu aktif dalam memperjuangkan tanah NCR di negeri berkenaan, memetik mStar Online.