Agong titah pertahan institusi kesultanan Kedah

Baginda bertitah, institusi Kesultanan Kedah yang telah wujud sejak tahun 1136 adalah warisan bangsa turun-temurun yang harus dibangga dan dipertahankan setiap rakyat Kedah.

“Kebelakangan ini berlaku pula tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengaku diri sebagai Sultan dan menganugerahkan bintang kebesaran palsu.

“Perkara karut seperti ini hendaklah dihentikan dengan segera kerana sekiranya dibiarkan akan mencemarkan institusi kesultanan yang sah dan berdaulat di negara Malaysia yang tercinta ini,” titah baginda pada Majlis Jamuan Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah di Istana Negara malam tadi.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Antara yang hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim juga menaruh harapan tinggi kepada kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Ahmad Bashah untuk terus membawa kemajuan kepada negeri itu.

Baginda bertitah bahawa dengan hubungan erat yang terjalin antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri itu, Kedah akan maju seiring dengan negeri-negeri lain ke arah Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia