KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya Malaysia meneruskan desakan supaya gencatan senjata berlaku di Gaza.
Menurut Sultan Ibrahim, Malaysia juga perlu tegas dalam menggesa agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan di wilayah yang kini diserang hebat oleh rejim Israel.
“Malaysia perlu tegas menyuarakan pendirian isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dipercepatkan,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini.
Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Baginda bertitah, pendirian Malaysia dalam menyokong keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan tegas di peringkat antarabangsa.“
Selain itu di peringkat ASEAN mahupun dunia, Malaysia perlu aktif berperanan dalam memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik dalam perkembangan serantau,” titah Sultan Ibrahim.
Gaza yang merupakan wilayah Palestin kini berhadapan dengan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel.
Hampir 30,000 rakyat Palestin di wilayah itu terbunuh dalam serangan udara secara berterusan oleh tentera zionis sejak 7 Oktober tahun lalu. – Malaysia Gazette