Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beberapa ‘agas-agas politik’ yang dahulunya bersama-sama dalam perjuangan UMNO, tetapi kini berpatah arang, telah bersekongkol dengan pembangkang dengan meniupkan pelbagai sentimen semata-mata untuk meraih simpati umum agar kekal mendapat perhatian.
“Kita harus bangkit dan menentang orang-orang ini, yang menjadi dalang dan petualang, merosakkan parti UMNO, dan cuba-cuba menenggelamkan bahtera UMNO dengan mempolemikkan cerita-cerita seperti 1MDB dan ‘derma’, DOJ dan rasuah, serta berbagai-bagai lagi helah politik yang cuba diputar belit.
“Orang-orang yang sudah berpaling tadah ini, yang berkelana membawa jiwa yang bercelaru, bukanlah pejuang sejati, tapi sebaliknya seperti burung helang yang terbang sekadar mengintai-intai peluang, apabila mendapat maka dibawanya pulang, tetapi apabila tidak mendapat, maka dia pun terbang menghilang,” katanya ketika menyampaikan amanatnya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud, Sabah pada Sabtu.
Salleh yang juga Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah turut mengibaratkan golongan ini sebagai ‘ular bertukar kulit’ kerana wataknya bertukar 90 darjah sebaik sahaja ‘bertukar kulit’ yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik. -Bernama