Sebenarnya jawapannya sudah jelas. Di kala semboyan perang sudah berbunyi, pembangkang masih sibuk lagi merekrut ahli dan berharap laut akan terbentang luas untuk mereka.
Bolehkah konsensus satu lawan satu pembangkang terlaksana? Adakah ia perlu untuk menghadapi PRU akan datang? Selepas PRN Sarawak dan beberapa PRK di Tanah Melayu, pembangkang tidak henti untuk membincangkan strategi satu lawan satu bagi menghadapi PRU akan datang.
Pemimpin PKR sering berkata apabila PAS berkeras mahu bertanding di kawasan mereka, ia akan membentuk pertandingan banyak penjuru, akhirnya ia akan memberi kemenangan kepada BN. Beberapa pengulas isu semasa pernah menyatakan sekiranya DAP dan PAS tidak berbincang, masihkah ada harapan untuk DAP mendapat undi daripada penyokong PAS?
BN meletakkan beberapa negeri di Semenanjung dan Malaysia Timur sebagai negeri deposit, adakah pembangkang juga berpendapat undi Cina akan menjadi pengundi tegar mereka juga? Pembangkang sering mengambil situasi di mana undi Cina berada di pihak mereka dan sekiranya berjaya berbincang dengan PAS dan bertanding satu lawan satu dengan BN, nescaya dengan menarik beberapa peratus sahaja lagi undi Melayu, Putrajaya akan menjadi milik mereka. Namun adakah keadaan realitinya sedemikian?
Jika Pakatan Harapan masih belum menyediakan platform untuk meyakinkan strategi satu lawan satu dengan PAS dan pada masa yang sama melupakan percanggahan terdahulu untuk memujuk pengundi, penulis beranggapan ia akan menjadi trauma kepada penyokong mereka. Penyokong pasti tidak mahu lagi melihat PR runtuh disebabkan isu agama seperti masa lalu. – Kwong Wah Yit Poh