Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam satu kenyataan, hari ini, turut menyifatkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang bakal menamatkan perkhidmatan mulai 1 Ogos ini, sebagai pengiktirafan terhadap usaha kerajaan Malaysia membanteras rasuah.
Ahli LPPR, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata Abu Kassim berjaya menterjemahkan kepemimpinannya ketika Badan Pencegah Rasuah (BPR) dipertingkatkan menjadi suruhanjaya pada 2008.
“Sejak itu, SPRM dilihat berjaya melaksanakan pelbagai transformasi dan penambahbaikan struktur organisasi, penguatkuasaan dan pendidikan dalam melahirkan masyarakat serta jentera kerajaan yang lebih berintegriti,” katanya.
Seorang lagi anggota LPPR, Datuk Seri Azman Ujang, berkata pelantikan Abu Kassim di sebuah institusi diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bangsa-Bersatu (PBB) adalah penghargaan kepada usaha pembanterasan rasuah di negara ini.
“IACA diwujudkan oleh pejabat PBB bagi Jenayah dan Penyalahgunaan Dadah (UNODC). la juga mendapat pengiktirafan Pejabat Pencegahan Penipuan Eropah (OLAF), Republik Austria dan 67 negara seluruh dunia,” katanya.
Ahli LPPR, Datuk Mohd Noor Abdullah, berkata legasi Abu Kassim dalam SPRM perlu berkesinambungan terutama usaha penambahbaikan standard prosedur operasi (SOP) suruhanjaya itu.
“Pengendalian kes secara lebih berkesan berjaya diterapkan ketika kepemimpinan Abu Kassim melalui penstrukturan bahagian penguatkuasaan dan pencegahan, antaranya dengan menerapkan keupayaan forensik ke peringkat lebih profesional,” katanya.
Dua lagi anggota LPPR, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Michael Yeoh, turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Abu Kassim ke IACA kerana ia membuktikan mutu pegawai penguatkuasaan di negara ini diiktiraf dunia.