Abang Johari disebut-sebut calon KM Sarawak

Walaupun beberapa nama dalam hieraki parti disebut dalam saingan untuk menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, tetapi tiada seorang pun dapat menyaingi Timbalan Ketua Menteri itu.

Menurut pemerhati politik, bakal calon-calon lain adalah Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Douglas Uggah Embas dan Datuk Awang Tengah Ali Hassan.

Seorang calon luar yang turut disebut adalah Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petrajaya dan Menteri Kerja Raya.

Mereka memberitahu, Abang Jo atau lebih dikenali sebagai Abang Johari merupakan pilihan yang begitu jelas bagi meneruskan tugas-tugas Adenan di negeri ini.

Profesor Madya, Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, Abang Johari merupakan calon paling layak dan berpengaruh.

“Untuk mendepani landskap politik semasa, anda memerlukan seorang ahli politik berpengalaman yang bijaksana dalam berpolitik. Abang Jo mempunyai banyak pengalaman.

“Beliau juga seseorang yang begitu disanjungi oleh parti-parti komponen lain (Barisan Nasional Sarawak) dan boleh bekerjasama begitu baik dengan pemimpin-pemimpin parti,” katanya kepada The Star Online pada Khamis.

Menurut Dr Jeniri, tradisi PBB turut menetapkan bahawa Abang Johari seharusnya mengambil alih tanggungjawab itu berikutan beliau merupakan pemimpin kedua tertinggi dalam parti.

Pensyarah Unimas menambah, kedudukan Abang Johari itu mendahului calon-calon lain seperti Douglas Uggah dan Awang Tengah.

Bagi Fadillah, Dr Jeniri berkata, beliau bukan ahli dewan undangan negeri (Adun) tetapi layak untuk bertanding di kerusi yang disandang Adenan di Tanjong Datu sekiranya dipilih parti.

Bagaimanapun beliau merasakan Fadillah terlalu muda dalam parti dan tidak akan menjadi pilihan popular di kalangan mereka yang lebih senior dalam PBB.

“Beliau masih junior. Masanya akan tiba nanti. Tumpuan adalah mereka yang lebih senior,” katanya.

Di bawah Perkara 6(3)(a) Perlembagaan Sarawak, Yang di-Pertua Negeri mempunyai hak untuk melantik Ketua Menteri di kalangan wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia