Ketika ditemui media selepas mengangkat sumpah sebagai ketua menteri keenam di Astana, kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Sarawak di Kuching, Jumaat, beliau keberatan mengulas mengenai perkara itu.
“Kita masih berkabung untuk Allahyarham Tan Sri Adenan. Saya akan keluarkan kenyataan dan bertemu media selepas berakhirnya tempoh (tujuh hari) berkabung.
“Namun, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan rakan-rakan dari Barisan Nasional atas keyakinan mereka terhadap saya untuk memimpin negeri ini,” katanya.
Abang Johari juga enggan menyatakan bila beliau akan mengumumkan senarai kabinetnya.
“Buat masa ini, dan sekali lagi kerana menghormati Allahyarham Adenan, status quo itu kekal,” katanya.
Allahyarham Adenan, yang menyandang jawatan ketua menteri hampir tiga tahun, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan, dekat sini pada Rabu.
Kerajaan negeri Sarawak mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari sehingga Selasa depan. – Bernama