8 suspek rompakan kapal MT Orkim Harmoni tiba

Lapan suspek membabitkan tujuh warga negara Indonesia dan seorang Myanmar berusia antara 21 hingga 63 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi bagi menjalani proses pertuduhan.

Ketibaan suspek berkenaan turut diiringi 40 anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diketuai Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Pada sidang media khas di LTAS, Ahmad Puzi berkata, proses ekstradisi itu adalah yang pertama dilaksanakan pihak APMM dan akan dijadikan contoh kes bagi menambah baik garis panduan jika berlaku kes seperti itu pada masa akan datang.

“Kelmarin, saya dan pasukan berlepas ke Hanoi bagi memuktamadkan proses ekstradisi suspek ke negara ini selain mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan susulan dengan pegawai kanan Kementerian Keselamatan Awam serta Pengawal Pantai Vietnam.

“Semua langkah keselamatan sudah diteliti dan dilaksanakan dalam proses ekstradisi lapan suspek ke negara ini sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Pada 12 Jun tahun lalu, negara digemparkan dengan insiden sebuah kapal tangki iaitu MT Orkim Harmony yang hilang di perairan Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi selepas ditahan perompak sehari sebelum dilaporkan hilang.

Kapal milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal membabitkan 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. – BH Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap