Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Abdul Samad berkata penolakan permohonan itu dilakukan berikutan syarat ketat yang dikenakan institusi-institusi kewangan.
“Penolakan permohonan itu adalah disebabkan pemohon tidak membayar dan bermasalah dengan kad kredit selain disenarai hitam oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Bagaimanapun, kita telah meminta institusi kewangan supaya melonggarkan sedikit syarat yang dikenakan supaya pemohon berpeluang memiliki rumah menerusi program ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) mengenai jumlah pemohon program Rumah Selangorku yang gagal mendapat pinjaman dan inisiatif kerajaan negeri membantu golongan berkenaan.
Iskandar (PAS-Cempaka) berkata pihaknya juga meminta Bank Negara Malaysia supaya melihat isu berkenaan dengan lebih teliti bagi memperoleh penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri melaksanakan tiga skim bagi memudahkan pembelian rumah mampu milik iaitu Skim Dana-Sel, Skim Smart Sewa dan Program Selangor Smart Home Buyer.–Bernama