56 syarikat pelaburan haram seleweng bilion ringgit

Timbalan Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid, berkata semua syarikat dan kumpulan terbabit disenarai hitam hasil laporan yang dibuat mangsa selepas gagal memperoleh pulangan yang dijanjikan.

Bagaimanapun, katanya, ada antara syarikat terbabit yang masih aktif menjalankan kegiatan pelaburan haram dengan menukar nama syarikat bagi mengabui mata pihak berkuasa.

“Sejak empat tahun lalu, puluhan ribu pelabur mengalami kerugian mencecah berbilion ringgit akibat ditipu syarikat yang didalangi sindiket dengan menjalankan kegiatan pelaburan haram.

“Polis percaya masih ramai pelabur yang menjadi mangsa penipuan ini, namun enggan membuat laporan kerana malu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Roslan berkata, berdasarkan statistik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, kerugian dialami pelabur kerana terpedaya dengan pelaburan haram itu dianggarkan berjumlah RM500 juta.

Katanya, kebanyakan mangsa diperdaya melabur dalam pelbagai bentuk pelaburan yang dianjurkan syarikat berkenaan antaranya pelaburan emas, dana, pertukaran mata wang asing dan harga komoditi.

“Sindiket kebiasaannya menjalankan pelaburan menggunakan sistem pemasaran berbilang peringkat (MLM) menyukarkan pelabur yang ditipu mengesan dalang syarikat berkenaan kerana mereka hanya berurusan melalui ejen.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat perniagaan daripada agensi yang diiktiraf terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan,” katanya.

Senarai penuh syarikat dan kumpulan yang disenarai hitam oleh BNM kerana menjalankan aktiviti pelaburan haram boleh diakses di laman web www.bnm.gov.my. INFO RM500 juta – Pelabur kerugian akibat tertipu Bentuk pelaburan: – Emas, dana, pertukaran mata wang asing dan harga komoditi.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia