“Ini adalah cerita menakutkan, saya dengar ada percubaan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing untuk menyokong Najib pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu majlis di Kampung Krubong Tengah, Melaka, Sabtu lalu.
Mahathir juga mendakwa 5,000 pengundi itu akan diagihkan ke setiap kerusi marginal bagi memastikan kemenangan BN.
“Kerusi-kerusi ini boleh dimenangi dengan majoriti beberapa ratus undi tetapi 5,000 undi akan memberi kemenangan kepada Najib,” katanya sambil menambah Najib akan berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasanya susulan skandal 1MDB.
Dakwaan sama dibangkitkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kononnya ribuan warga asing dijadikan warganegara untuk membolehkan mereka mengundi pada 2013.
Pengerusi PPBM itu juga bimbang dengan pembinaan penempatan asing di Iskandar, Johor susulan laporan mendakwa pemaju China menyasarkan warga asing, khasnya dari Singapura membeli hartanah di negeri selatan itu.
“Kira-kira 700,000 rumah berharga RM1 juta hingga RM5 juta akan dibina di Forest City, Johor yang mungkin direbut warga asing. Orang tempatan tidak mampu membeli hartanah ini,” katanya. –Tamil Malar