Mayat keempat-empat mangsa itu dikenal pasti sebagai warga Myanmar. Mereka ialah Maung Maung Soe, 31, Thet Naing Soe, 22, Thet Naing Win, 30, dan Min Zaw Lwn, 20-an.
Sebelum mayat-mayat ditemui, Maung Soe, Naing Soe, Naing Win dan Zaw Lwn dilaporkan diculik di asrama pekerja di Pusat Perniagaan Bandar Baru Tunjung pada pukul 11 malam, 25 Oktober lalu.
Semasa kejadian itu, dua penculik memakai topeng menyerbu masuk ke asrama pekerja lalu mengacukan pisau ke arah semua penghuninya yang terdiri daripada lima lelaki Myanmar dan tujuh lelaki Indonesia.
Lima lagi penculik bertopeng kemudian bergelut dengan keempat-empat mangsa sebelum melarikan mereka dengan menaiki sebuah kenderaan.
Kesemua sembilan penculik itu juga warga Myanmar. Punca pembunuhan beramai-ramai itu didakwa dikaitkan dengan perbalahan yang berlaku di Myanmar dan berlarutan ke sini.