391 pelajar terima biasiswa PETRONAS

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata penajaan itu adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyokong pembangunan modal insan di negara ini.

Bercakap pada majlis penyampaian biasiswa itu di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), pada Ahad, beliau berkata ia juga bagi membantu pelajar yang layak untuk meneruskan pengajian tinggi mereka di universiti tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, penajaan itu adalah satu daripada pelaburan untuk masa depan selaras dengan Strategi Bakat Global Petronas untuk mengambil tenaga kerja yang tangkas dan cepat menyesuaikan diri bagi mewujudkan bakat universal yang berkemampuan dan pelbagai.

“Ini penting dalam menghasilkan bukan sahaja tenaga kerja yang mantap tetapi juga generasi pemimpin yang baharu yang mampu mengemudi prestasi pasukan.

“Selain daripada penajaan, saya juga bangga mengatakan bahawa PETRONAS turut menawarkan pelbagai peluang kerjaya merentasi model perniagaan bersepadunya, daripada profesion teknikal huluan kepada pemasaran dan penjenamaan,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS juga sedang mencari pelajar berbakat yang menunjukkan sifat luar biasa, kemahiran organisasi dan kepimpinan, yang menjadi nilai tambah dalam industri yang dinamik dan mencabar.

“Memandangkan kami terus bertahan melalui ketidaktentuan ekonomi global dan persekitaran industri, kami mahukan individu yang mampu secara teknikal, mempunyai visi, pintar dan tangkas untuk membantu kami mengatasi pasang surut cabaran dan membawa organisasi ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman, berkata PETRONAS menerima sebanyak 7,566 permohonan biasiswa itu tahun ini.

“Proses pemilihan menyaksikan sejumlah 391 calon berjaya dianugerahkan penajaan PESP. Daripada jumlah itu, 154 pelajar akan melanjutkan pelajaran ke luar negara, manakala 237 pelajar akan menyambung pengajian di UTP,” katanya.

Raiha Azni berkata, sejak penubuhannya pada 1975, PESP telah memberi manfaat kepada lebih daripada 35,800 pelajar dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM3 bilion.

Seorang daripada penerima PESP, Farhana Abdul Aziz, 17, bekas pelajar Kolej Yayasan Saad Melaka melahirkan rasa penghargaan kepada Petronas kerana memberikan saluran untuknya merealisasikan impian dan aspirasinya.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk menghargai peluang yang disediakan Petronas menerusi PESP. Selepas ini, saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal di United Kingdom,” katanya. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia