29 ditahan, markas Syiah diserbu JAIM

Memetik laporan BH Online, kesemua individu membabitkan 21 lelaki dan lapan wanita berusia 19 hingga 59 tahun itu ditahan di inap desa di Umbai dan sebuah premis perniagaan kafe siber di Telok Mas, antara jam 11 malam tadi hingga 3.30 pagi Ahad.

Dalam serbuan sama, JAIM mendapati 15 kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 14 tahun turut bersama kumpulan berkenaan kerana mengikuti ibu bapa masing-masing.

Sumber berkata, penguat kuasa JAIM menahan ketua gerakan kumpulan berusia 42 tahun dan berasal dari Kedah di Umbai manakala seorang lagi penggerak fahaman sama berusia 41 tahun di Telok Mas.

“Daripada bilangan yang ditahan, 10 daripadanya membabitkan tujuh lelaki dan tiga perempuan mengaku berasal dari Melaka manakala selebihnya dari luar negeri ini.

“Dua lokasi yang diserbu ini dipercayai menjadi tempat perjumpaan kumpulan berkenaan dan menjalankan aktiviti sejak setahun lalu,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Katanya, JAIM turut merampas barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam pegangan Sunnah Wal Jamaah.

Antaranya ialah buku berunsur Syiah dan Imam Mahdi, kain rentang dan bendera melambangkan Syiah, batu karbala, komputer dan keris.

Serbuan membabitkan penguat kuasa JAIM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu dijalankan susulan maklumat awam dan risikan, selain mendapat perintah waran oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka.

Ketua Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani, yang mengesahkan kejadian berkata, selepas proses dokumentasi dijalankan di pejabat JAIM, hanya 15 daripada mereka ditahan manakala selebihnya dilepaskan dengan surat perintah hadir ke pejabat jabatan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 63 kerana ingkar Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia