22 ditahan rancang jatuhkan kerajaan

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun berkata, 20 orang termasuk 10 rakyat tempatan itu ditahan di sekitar Tanjung Labian, Sungai Bilis dan Tanjung Batu di Lahad Datu pada 7 Mei lepas manakala dua hari kemudian dua lagi ditahan di Ranau.

“Kita tahan mereka di rumah masing-masing melalui operasi terancang berdasarkan maklumat yang kami terima.

“Operasi Gasak 3 yang diketuai saya sendiri bermula pada Jumaat lepas melibatkan polis dan semua agensi penguatkuasaan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom),” katanya pada Program Hidup Sihat Polis Diraja Malaysia Sabah hari ini.

Abd Rashid berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, kesemua tahanan itu berumur 22 hingga 75 tahun.

Menurutnya, selain 10 rakyat tempatan itu, dua individu mempunyai sijil lahir yang mengatakan mereka dilahirkan di Sabah, seorang lagi mempunyai pas lawatan dari Filipina, manakala bakinya tiada dokumen pengenalan diri.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dengan persiapan menjatuhkan kerajaan dan juga mungkin ada kaitan dengan ‘Royal Sulu Force’.

“Seksyen ini membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia