Setiausahanya, Datuk Hanafi Mamat berkata, ia berikutan tindakan tersebut dianggap tidak mengikut saluran seperti yang ditetapkan perlembagaan dan peraturan parti.
“Sepatutnya mereka guna saluran yang dibenarkan untuk mengkritik atau menegur di mana semua ahli sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, tetapi bila secara terbuka tentang presiden maka bersedialah untuk dikenakan tindakan,” katanya, memetik laporan Sinar Online, pada Selasa.
“Apa yang mereka lalukan bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya Umno, kita tidak menyekat ahli untuk tegur kepimpinan tapi tegur dengan berhemah. Jangan sampai menyertai gerakan yang mahu menjatuhkan presiden hingga menjejaskan perjalanan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung mesyuarat Umno Cawangan Lepan Simpol dan Banggol Judah dekat Machang Sabtu lalu yang sebulat suara meluluskan usul menolak kepimpinan Najib sebagai kepimpinan parti.
Usul tersebut diterima tanpa bahas oleh kira-kira 70 ahli yang hadir pada mesyuarat dua cawangan tersebut.
Hanafi berkata, bagaimanapun tindakan dua cawangan tersebut tidak menjejaskan parti secara keseluruhan di negeri itu, malah tidak memberi kesan kepada kedudukan Najib.
“Kita sebagai pengundi ada hak untuk memilih tetapi kena tunggu pilihan raya umum dan begitu juga dalam parti, kita ada hak untuk memilih atau menyokong pemimpin untuk sandang mana-mana jawatan tetapi tunggu pemilihan parti dan sekarang bukan musimnya.
“Kita sangat menerima teguran demi kebaikan bersama, Umno sangat demokrasi tetapi biar kena dengan caranya,” katanya.