Usul politik tersebut diterima tanpa bahas oleh kira-kira 70 ahli yang hadir pada mesyuarat bersama, dua cawangan tersebut, pada Sabtu.
Ketua Cawangan Lepan Simpol, Datuk Sazmi Miah berkata, usul tersebut mengambil kira kepentingan parti pada Pilihan Raya Umum akan datang apabila rata-rata rakyat di peringkat akar umbi menolak kepimpinan Najib.
Beliau berkata, walaupun keputusan itu menongkah arus dan dilihat bertentangan ia adalah suara ahli akar umbi di cawangan tersebut.
“Usul ini diterima dengan hati yang terbuka dan tidak dibahaskan kerana kita mahu memperkasakan parti dengan mengambil kira suara ahli-ahli di peringkat akar umbi.
“Usul ini dibuat oleh anak-anak muda dan inilah suara mereka. Kenapa kita mesti bantah? Mesyuarat cawangan adalah platform yang tepat untuk menyuarakan suara hati dan pendapat mereka. Tidak perlu bercakap di kedai kopi atau cakap belakang sebaliknya nyatakan secara jelas dan terang mengikut saluran yang betul,” katanya, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Sazmi yang juga bekas Ahli Parlimen Machang berkata, pelbagai isu yang membelenggu Najib boleh menjejaskan parti pada PRU akan datang dan Najib perlu berundur sebelum ia dilaksanakan.
Katanya, dalam masa yang sama, kedua-dua cawangan itu juga sepakat menolak penangguhan pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun ini sebagaimana yang diumumkan Najib tahun lalu.