16 termasuk pelajar universiti ditahan terlibat kumpulan pengganas – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 38 tahun ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara 21 Sept. hingga 6 Okt. lepas.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada (lima) peniaga; (empat) juruteknik; (dua) penganggur; seorang guru kaunseling di sekolah kerajaan; seorang kakitangan bank; seorang pengurus eksekutif; seorang pencari barangan antik dan seorang pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Khalid berkata, pelajar berusia 20 tahun itu yang menuntut di sebuah universiti di Johor, ditahan ketika pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 22 Sept. lepas.

Menurutnya, suspek telah berlepas ke Istanbul, Turki pada 7 Sept. lepas dan ditahan pihak berkuasa Turki pada hari keesokannya kerana merancang untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara itu.

“Tangkapan yang dibuat pihak berkuasa Turki itu adalah hasil maklumat Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.

Menurut Khalid, seramai 14 lagi suspek warga tempatan yang ditangkap disyaki merupakan anggota pengganas Daesh daripada kumpulan yang diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedy.

Kesemua mereka disyaki telah berbai’ah secara dalam talian kepada Muhammad Wanndy dan menyalurkan dana kepadanya, katanya.

Beliau juga menambah, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 32 tahun yang dipercayai berasal dari utara Afrika kerana disyaki menganggotai Kumpulan Jahbat Al-Nusra di Syria.

“Lelaki itu ditangkap di Selangor pada 25 Sept. lepas. Hasil siasatan juga mendapati suspek telah beberapa kali menyusup masuk ke negara ini sejak Mei lepas. Semasa di Malaysia, suspek disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan Kumpulan Jahbat Al-Nusra,” katanya.

Sehubungan itu, Khalid berkata kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap