15 cubaan culik berjaya dipatahkan Esscom, kata Shahidan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Dewan Rakyat, ia termasuk cubaan enam penculikan yang dipatahkan sejak Januari hingga Mei tahun ini.

“Langkah pengukuhan dengan memperketatkan kawalan ke atas pusat peranginan, sangkar ikan dan laluan berisiko, berjaya mengesan lebih awal tindakan kumpulan pengganas dari selatan Filipina ini yang melakukan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu mengenai peruntukan tahunan Esscom dan jumlah tangkapan pengganas sejak ia ditubuhkan.

Guan Eng juga mahu tahu status terkini empat mangsa yang diculik di perairan Ligitan awal April lalu.

Shahidan berkata kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi menyelamatkan empat rakyat Malaysia itu yang diculik lapan lelaki bersenjata.

Menurutnya, ketika ini pendekatan rundingan digunakan agar kumpulan pengganas itu melepaskan tawanan tanpa melibatkan kehilangan nyawa.

“Pada masa sekarang ini status empat rakyat kita yang diculik berada dalam keadaan selamat.

“Seperti kes sebelum ini, kita juga gunakan pendekatan rundingan dan kerjasama dengan kerajaan Filipina, kita yakin mangsa akan dilepaskan dan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, sejak ditubuhkan pada 2013 hingga tahun ini, sejumlah RM146.9 juta telah diperuntukan untuk belanja mengurus dan membangunkan Esscom.

Dalam tempoh itu juga, sejumlah empat individu yang berkaitan dengan pengganas Sulu ditembak mati, manakala 67 lagi ditahan untuk siasatan lanjut. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia