Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembayaran balik dalam tempoh 10 hari selepas pembentangan Bajet 2017 itu melibatkan jumlah kutipan RM84.8 juta.
“Jumlah diskaun yang ditawarkan kepada semua peminjam itu adalah sebanyak RM12.1 juta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada 120 pelajar dalam Parlimen Lenggong, Gerik, Padang Rengas dan Kuala Kangsar di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Okt lalu mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi insentif diskaun berkuat kuasa 22 Okt sehingga akhir tahun depan bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman.
Menjelaskan secara lanjut bayaran balik yang dikutip, Shamsul Anuar berkata bagi diskaun 15 peratus penyelesaian penuh, seramai 5,002 peminjam menikmatinya dengan jumlah bayaran RM51.9 juta.
“Selain itu, 1,025 peminjam menikmati diskaun 10 peratus bagi bayaran minimum 50 peratus daripada baki hutang dengan jumlah bayaran balik yang dikutip adalah RM8.9 juta,” katanya.
Katanya bagi peminjam yang membuat bayaran konsisten melalui kaedah potongan gaji pula, seramai 131,582 orang menikmati diskaun sebanyak 10 peratus melibatkan jumlah RM23.8 juta.
“Sekiranya trend pembayaran balik ini berterusan kita harap dapat mencapai sasaran kutipan tahun 2016 sebanyak RM18.3 bilion berbanding kutipan setakat ini RM9.6 bilion,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan senarai hitam Jabatan Imigresen, beliau berkata, sehingga hari ini PTPTN telah menyenaraikan sebanyak 264,000 peminjam.
Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 90,000 peminjam telah tampil mengadakan rundingan dengan PTPTN.— Bernama