JOHOR BAHRU: Latihan ketenteraan yang dijalani Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah membentuk jati diri dan kewibawaan tinggi dalam diri Seri Paduka Baginda, sekali gus menyerlahkan lagi keperibadian Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara.
Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Ibrahim memulakan latihan ketenteraan Seri Paduka Baginda di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi sebagai platun komander.
Beliau berkata Sultan Ibrahim kemudiannya mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat serta menjalani latihan airborne dan renjer untuk pegawai infantri.
“Tuanku selepas itu meneruskan latihan ‘American Special Forces’ dan ‘Pathfinder’, berjaya membuat 19 terjunan payung terjun dengan lapan pada waktu malam, sekali gus ditauliahkan ‘sayap’ dan menjadi seorang komando,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya, baru-baru ini.
Beliau berkata Sultan Ibrahim yang turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara), melakukan beberapa penerjunan di Bandung dan seterusnya ditauliahkan ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia.
“Sementara itu, Tuanku turut mendapat kelulusan dan sijil untuk memandu pesawat, sama ada fixed-wing aircraft iaitu kapal terbang, jet, atau rotary wing iaitu helikopter, selepas lulus peperiksaan. Maka, selepas itu Tuanku dikurniakan satu lagi sayap.
“Kedua-dua sayap yang dikurniakan kepada Tuanku ini adalah genuine, yang menunjukkan bahawa Tuanku betul-betul menjalani latihan itu dan bukannya honorary (sayap kehormat),” kata beliau yang pernah berkhidmat dengan tiga Sultan Johor.
Abdul Rahim, 85, yang telah berkhidmat sejak pemerintahan nenda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Ismail berkata, latihan ketenteraan itu berjaya membentuk karakter Sultan Ibrahim sebagai raja yang berpendirian tegas dan berani dalam membuat sebarang keputusan.
“Kalau kita lihat kepada latihan ketenteraan, khasnya membuat penerjunan ini, ia membantu Tuanku mengambil tindakan menimbangkan sesuatu perkara, (serta) membuat satu keputusan yang tepat dan betul dalam waktu yang kritikal.
“Ini yang saya katakan, satu daripada ciri-ciri karakter Tuanku yang ada sekarang, dan saya perhatikan, semangat inilah yang menjadikan Tuanku sebagai pemimpin, raja yang berani dan tegas dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya.
Beliau berkata sifat kepimpinan dan keberanian Sultan Ibrahim itu sebenarnya sudah boleh dilihat sejak kecil, antaranya ketika Seri Paduka Baginda memberanikan diri mengambil bahagian dalam acara sukan air di Pantai Lido, bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Almarhum Sultan Ismail.
Menurutnya Sultan Ibrahim yang ketika itu berusia tujuh atau lapan tahun, tidak kekok dan berani mengambil bahagian dalam acara renang, menangkap itik, mengayuh perahu dan memandu bot laju.
Sultan Ibrahim yang merupakan Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK), sentiasa menunjukkan keprihatinan berkaitan ketenteraan berdasarkan titah-titah Seri Paduka Baginda sebelum ini.
Seri Paduka Baginda antaranya pernah bertitah mahukan semua anggota GGK sentiasa mengekalkan tahap kecergasan dan kekuatan fizikal yang merupakan keupayaan yang mesti dimiiliki oleh seorang komando.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan pegawai dalam Kor GGK Angkatan Tentera Malaysia supaya tidak berpolitik untuk mendapatkan pangkat dan jawatan tertentu.
Sultan Ibrahim pada 31 Januari lalu selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019. – BERNAMA